Sebagaimana kita tahu, isu berkaitan royalti minyak sentiasa dimainkan pihak pembangkang untuk mencetus perasaan kurang senang rakyat terutama di Kelantan terhadap kerajaan terutama menjelang pilihanraya.
Justeru Kementerian Kewangan hari ini mengeluarkan kenyataan media untuk menjelaskan tentang isu ini agar rakyat tidak terkeliru dengan maklumat tidak tepat yang giat disebarkan kepada mereaka.
Kenyataan media tersebut berbunyi:
KERAJAAN telah memutuskan untuk memaklumkan keputusan kajian Jawatankuasa Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia kepada umum bagi memberikan penjelasan yang sebenar kepada rakyat dan mengelakkan rakyat daripada terus diberikan berbagai versi yang tidak benar dan mengelirukan berhubung dengan tuntutan tersebut.
Langkah ini adalah suatu perkara yang perlu dilakukan demi memelihara kepentingan Negara (national interest) supaya rakyat dapat memahami pendirian Kerajaan yang dibuat berdasarkan suatu kajian yang telah dilakukan oleh suatu Jawatankuasa Khas yang bebas demi menghapuskan berbagai tohmahan dan salah sangka kepada pihak Kerajaan.
JAWATANKUASA Khas Bagi Penentuan Tuntutan Bayaran Tunai Daripada Hasil Petroleum Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia telah memberikan taklimat kepada Jemaah Menteri berkenaan dengan penemuan jawatankuasa tersebut pada 28 Ogos 2013.
Jawatankuasa Khas tersebut telah ditubuhkan dengan tujuan untuk menimbangkan persoalan-persoalan yang dinyatakan dalam Terma Rujukan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dan mengemukakan pandangannya kepada Kerajaan Persekutuan.
JAWATANKUASA Khas tersebut tidak ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang dan penemuan Jawatankuasa Khas tersebut yang dipengerusikan oleh Bekas Ketua Hakim Negara tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak mengikat ke atas Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak PETRONAS.
Anggota-anggota jawatankuasa tersebut pula perlu memberikan pandangan mereka secara bebas, adil dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Tiga daripada enam orang anggota Jawatankuasa Khas tersebut masing-masing adalah mewakili Negeri Kelantan, Pahang dan satu wakil dikhaskan oleh wakil daripada Negeri Terengganu dan selebihnya adalah seorang bekas Ketua Setiausaha Negara dan seorang pakar dalam bidang undang-undang Perlembagaan.
Walau bagaimanapun Negeri Terengganu tidak menamakan apa-apa wakil dalam Jawatankuasa Khas tersebut manakala wakil daripada Kerajaan Negeri Kelantan tidak hadir pada masa Jawatankuasa Khas memuktamadkan laporan dan penemuan Jawatankuasa Khas.
JAWATANKUASA Khas tersebut telah diberikan mandat untuk menimbangkan dua persoalan utama seperti berikut:
a) Mengenal pasti jika ada negeri-negeri yang berhak di sisi undang-undang untuk menerima Bayaran Tunai daripada hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
b) Menentukan formula dan kaedah pembayaran Bayaran Tunai tersebut kepada negeri-negeri berkenaan.
ANTARA penemuan penting Jawatankuasa Khas tersebut adalah seperti berikut:
TERMA ‘di dalam negeri’ dalam Perjanjian tersebut adalah merujuk kepada tanah negeri dan laut Wilayah negeri tidak melebihi 3 batu nautika diukur daripada garis air surut persisiran pantai negeri. Takrifan ini adalah berdasarkan undang-undang antarabangsa dan domestik yang terpakai;
SEHINGGA hari ini, tiada petroleum didapati dan diperolehi di dalam negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Oleh itu, sehingga hari ini PETRONAS tidak terikat secara undang-undang untuk membayar Bayaran Tunai kepada mana-mana negeri di bawah Perjanjian Pembayaran; dan
BERDASARKAN Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani antara pihak Petronas dengan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang, negeri-negeri tersebut hanya berhak ke atas 5 peratus daripada nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di dalam negeri tersebut.
NAMUN demikian, penemuan-penemuan oleh Jawatankuasa Khas tersebut adalah merupakan antara perkara-perkara yang dipertikaikan di hadapan Mahkamah dan masih belum diputuskan oleh pihak Mahkamah kerana kes tuntutan Kerajaan Negeri Kelantan ke atas hasil petroleum berkenaan masih lagi berjalan.
Oleh itu, apa-apa keputusan atau hasil kajian Jawatankuasa Khas tersebut tidak wajar dilihat sebagai mempengaruhi apa-apa keputusan Mahkamah ke atas kes berkenaan.
Kementerian Kewangan
PUTRAJAYA
24 September 2014
Diharapkan kenyataan media ini dapat memberikan pencerahan kepada rakyat tentang isu royalti minyak yang sering diputarbelitkan. – MYNEWSHUB