Misteri kehilangan puluhan kereta jenis PROTON di sekitar Sentul, Kuala Lumpur sejak beberapa bulan lalu terjawab dengan penahanan tiga lelaki di sebuah kedai lusuh di Jinjang Utara, di sini, awal pagi semalam.
Memetik laporan Berita Harian, ketika serbuan dilakukan jam 12.15 pagi itu, semua suspek berusia lingkungan 30-an itu sedang sibuk meleraikan komponen kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan awal mendapati suspek turut bertindak sebagai pencuri kenderaan terbabit berdasarkan penemuan alatan untuk mencuri di lokasi serbuan.
“Hasil intipan selama sebulan, kami mendapati mereka beroperasi (meleraikan komponen) pada waktu malam manakala siang aktif mencuri kenderaan,” katanya pada sidang media di Balai Polis Jinjang, di sini, semalam.
Hasil serbuan, polis menemui dua kereta PROTON jenis Iswara yang mempunyai nombor casis yang sama, sebuah PROTON Wira dan PROTON Saga BLM yang sudah dileraikan.
“Dalam serbuan sama, kami menemui dua lori tiga tan dengan 161 tong gas berada dalam salah sebuah lori dipercayai dicuri untuk meleraikan komponennya,” katanya.
Susulan penahanan itu, Munusamy berkata, pihaknya dapat menyelesaikan 20 kes curi kereta di daerah terbabit.
“Nilai rampasan dianggarkan RM200,000 dan siasatan diteruskan, bagi mengenalpasti sama ada terdapat individu lain yang turut terbabit dalam kumpulan ini,” katanya yang turut mengesahkan dua daripada suspek pernah ditahan atas dakwaan membunuh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan motor dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyimpan barangan curi. :-MYNEWSHUB.CC
Oleh: CRIMEBUSTERZ