NEW YORK – Serena Williams akan memburu gelaran Grand Slam ke-18 menentang Caroline Wozniacki selepas dia menewaskan Ekaterina Makarova 6-1, 6-3, hari ini untuk layak ke final kejohanan tenis Terbuka AS.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Wozniacki dari Denmark menewaskan Peng Shuai 7-6 (7/1), 4-3, selepas pemain dari China itu menarik diri dengan gangguan kesihatan.
Serena, pemain nombor satu dunia dan pemenang dua kali berturut-turut di Flushing Meadows dan kelima secara keseluruhan akan cuba menyamai rekod Chris Evert dan Martina Navratilova memenangi 18 gelaran utama.
Selepas memenangi 17 major, Serena menunjukkan wajah amat ceria dapat kembali ke final sekali lagi selepas gagal melepasi pusingan keempat pada setiap kejohanan utama tahun ini.
“Oh, ia terasa amat hebat,” kata Serena yang melutut atas gelanggang sebelum menjerit kuat sebagai meraikan kejayaannya di separuh akhir. – AFP