BEIJING – Rakyat China mengangkat Peng Shuai sebagai ‘kebanggaan’ negara itu selepas masalah kepanasan dan kekejangan menamatkan impiannya di Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal pagi tadi.
Malah mereka turut mengimbau kembali perjalanan Shuai yang ketika kanak-kanak pernah menjalani pembedahan hati sebelum berjaya melangkah ke separuh akhir di kejuaraan Grand Slam.
Pengguna media sosial di China menggambarkan kekalahan Peng ketika menentang Caroline Wozniacki sebagai mengimbau kembali kekalahan rakan senegaranya, Li Na pada final Terbuka Australia 2013.
Shuai, 28 memburu jejak Li Na dan menjadi pemain kedua dari China melangkah ke final dan memenangi gelaran Grand Slam.
Begitupun, harapannya hancur dan terpaksa keluar daripada gelanggang dengan kesakitan, tangisan dan menggunakan kerusi roda.
Ketika itu, Peng sedang mendahului jaguh Denmark, Wozniacki 7-6 (7/1) 4-3 sebelum terpaksa meninggalkan Stadium Arthur Ashe untuk mendapatkan rawatan akibat kekejangan sebelum kembali beraksi selama sepuluh minit dan menamatkan permainan.
Penarikan diri Shuai menjadi salah satu topik paling hangat di laman media sosial China, Weibo yang seakan Twitter dan menjana lebih daripada 40 juta komen.
“Bertahan di sana, Shuaishuai,” komen salah seorang pengguna Weibo. “Kamu adalah kebanggaan China!”
Akhbar rasmi parti komunis China, People Daily memuji Shuai dalam laman Weibonya dengan berkata: “Tiada yang kalah hari ini… Terima kasih Shuaishuai, kamu sudah mencuba yang terbaik!”
Shuai yang berasal daripada daerah Hunan mula bermain tenis ketika usia lapan tahun namun masalah hati memaksanya tidak boleh terlalu menekan dirinya.
Begitupun, pada usia 12 tahun, Shuai memutuskan untuk melakukan pembedahan sekalipun tidak dibenarkan keluarganya dalam usaha memburu impiannya.
“Saya menitiskan air mata apabila melihat bagaimana dia mencuba sebaik mungkin dan sebelum ini dia pernah menjalani pembedahan hati,” tulis salah satu komen.
Shuai sebelum ini pernah menjuarai dua gelaran Grand Slam namun kedua-duanya dalam acara beregu pada Wimbledon 2013 dan Terbuka Perancis pada 2014.
Begitupun dalam acara perseorangan, Shuai menjadi pemain ketiga dari China yang melangkah ke separuh akhir Grand Slam selepas Zheng Jie yang mara ke separuh akhir Wimbledon pada 2008 dan Terbuka Australia pada 2010 dan Li Na.
Li Na dianggap bintang tenis utama China selepas kejayaan menjuarai Terbuka Perancis pada 2011 dan Terbuka Australia awal tahun ini. – AFP