MAKKAH – Lembaga Tabung Haji (TH) menggunakan khidmat 260 Petugas Ambilan Musim (PAM) terdiri daripada penduduk tetap (PR) Arab Saudi yang berasal dari Asia Tenggara, termasuk Malaysia, Indonesia dan Pattani, Thailand membantu urusannya di sini.
Pengarah Operasi Haji di Makkah Redhuan Sabarudin berkata kesemua mereka ditempatkan di tiga kawasan iaitu Makkah, Madinah dan Jeddah, terlibat dengan kerja-kerja rencam seperti pemandu, pembantu sajian dan mengurus bangunan.
“Mereka perlu bekerja selama 24 jam sepanjang musim haji tanpa cuti, serta sanggup tinggal bersama di maktab penginapan jemaah haji serta mampu berbahasa Malaysia untuk berkomunikasi,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Redhuan, yang juga Konsul Haji di Arab Saudi berkata dengan pengambilan PAM ia membantu mengurangkan keperluan TH membawa petugas lebih ramai dari Malaysia.
Bagaimanapun dari segi tugas pentadbiran, kesihatan, tukang masak dan pembimbing ibadah, TH masih memerlukan sepenuhnya petugas dari Malaysia kerana kerja-kerja itu belum boleh diganti dengan pekerja sambilan, katanya.
Menyentuh mengenai pengambilan pelajar Malaysia di sini sebagai pekerja sambilan, Redhuan berkata ia tidak dapat dilakukan kerana semasa musim haji para pelajar itu masih perlu menghadiri kuliah.
“Mereka hanya bercuti selama 15 hari iaitu dari 1 Zulhijah (25 Sept) hingga 15 Zulhijah (9 Okt) sementara musim haji bermula dari 28 Syawal (24 Ogos) hingga 14 Muharam (7 Nov) tarikh akhir penerbangan balik,” katanya.
Bagaimanapun katanya, TH ada mengambil pelajar Malaysia di Universiti Madinah sebagai mutawif untuk program ziarah di Madinah kerana program tersebut mengambil masa yang singkat dan tidak menjejaskan pelajaran mereka.
Sementara itu, bagi anggota PAM, Ahmad Yusof, 44, yang bertugas sebagai pemandu ambulans sejak 21 tahun dengan TH, berkata tugasnya ini bukan sahaja menambah kenalan di Malaysia, malah membantunya tingkatkan penguasaan bahasa Malaysia.
Ahmad berkata selain menjadi pemandu ambulans untuk membawa pesakit ke klinik dan hospital, beliau juga sering menziarah jemaah haji Malaysia yang dimasukkan ke hospital dan kadangkala bertindak sebagai penghubung antara pesakit itu dengan keluarga mereka di Malaysia melalui panggilan telefon.
“Saya akan maklumkan kepada keluarga pesakit mengenai keadaan pesakit, dan menyampaikan pesanan keluarga kepada pesakit,” katanya.
Ahmad yang dilahir dan dibesarkan di sini, mempunyai keluarga di Alor Janggus, Kedah berkata malah tanggungjawabnya setiap musim haji adalah untuk membawa pesakit yang tenat untuk mengerjakan wukuf di Arafah, yang merupakan kemuncak haji, supaya pesakit dapat menyempurnakan ibadah haji.
Bapa kepada enam orang anak berusia tiga tahun hingga 21 tahun, serta mempunyai seorang cucu, berkata pengalamannya membantu jemaah haji Malaysia, terutama yang sakit semasa musim haji, amat banyak dan bersyukur kerana dapat membantu mereka.
Beliau yang setahun dua kali bercuti di Malaysia berkata adiknya kini sedang belajar untuk menjadi guru di Kolej Universiti Insaniah di Alor Setar, Kedah.
Sementara itu Abdul Hadi Abdul Ghani, 35, yang berasal dari Ketereh, Kelantan, berkhidmat dengan TH selama lima tahun sebagai pemandu, dan menetap di sini sejak berusia tujuh tahun apabila ibunya yang telah bercerai dengan bapanya berkahwin dengan warga Arab Saudi.
Abdul Hadi yang diberi tanggungjawab membawa pelbagai golongan jemaah termasuk VIP, berkata jemaah haji Malaysia amat mesra dan bersopan.
Beliau yang mempunyai adik-beradik di Kelantan sering pulang ke Malaysia untuk mengunjungi mereka.
Bagi Hamdi Ludi@Jamaluddin, 44, yang telah 15 tahun berkhidmat dengan TH mengendalikan bilik kawalan berkata mempunyai banyak pengalaman membantu jemaah haji yang tersasar.
Kadangkala beliau sendiri mencari jemaah haji yang tersasar, menggunakan teksi apabila tiada kenderaan TH.
Beliau yang dilahir dan dibesarkan di Makkah, membuat keputusan pulang ke Machang, Kelantan 12 tahun lepas untuk bekerja sendiri memandangkan terdapat lima adik-beradiknya tinggal di Malaysia dan enam lagi di Makkah.
Hamdi yang mempunyai permit kerja dengan kerajaan Arab Saudi akan datang ke Makkah dua kali setahun, termasuk bekerja dengan TH secara sambilan semasa musim haji, berkata beliau bukan sahaja boleh berbahasa Arab, tetapi juga menulis dan membaca bahasa itu.
Beliau berkata imej TH di Tanah Suci amat baik, malah pegawai amat terbuka dan sentiasa menerima cadangan untuk penambahbaikan urusan haji.
“Ada cadangan saya diterima, dan ada yang hanya dibincangkan sahaja,” katanya yang sebelum ini pernah bekerja di hospital, Arab Saudi. – BERNAMA