SHAH ALAM – Golongan pengamal ajaran Syiah tidak sesuai menyebarkan ajaran mereka kepada rakyat Malaysia khususnya mereka yang beragama Islam.
Menurut Ahli Jawatankuasa Fatwa Jabatan Mufti Negeri Selangor, Prof. Madya Datuk Mohd Mokhtar Shafii, penerimaan terhadap ajaran tersebut bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dipraktikkan di negara ini sejak beberapa lama dahulu.
“Syiah ini ajaran yang bertentangan dengan Islam, amalan nikah Muta’ah, penghinaan terhadap isteri-isteri dan sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W.
“Kalau nak beramal (Syiah) sangat, pergilah ke Iran, di sana memang kita dah tak mampu nak buat apa-apa, tapi ini bukan bermakna saya galakkan amalan ini diteruskan, cuma saya tidak mahu ajaran ini disebarkan di sini (di negara ini),” katanya.
Beliau berkata demikian di Dialog Fatwa Perdana 2014 yang berlangsung di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 telah memutuskan ajaran Syiah adalah bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. – Sinar Harian Online