TRIP Sahabat Media Kedah yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia dengan kerjasama Tourism Kedah dan Majalah Santai Travel berjaya meneroka pelbagai tempat menarik yang bersifat agro tourism di negeri Kedah, baru-baru ini.
Trip yang disertai oleh rakan media daripada pelbagai organisasi ini dimulakan dengan aktiviti berkonvoi menaiki kenderaan pacuan empat roda yang dirasmikan oleh Pengarah Pelancongan Kedah, Roslan Othman.
Hari pertama kami telah dibawa berkunjung ke Pusat Teknologi Mempelam di Kuala Sala, Ladang Nira Nipah di Yan serta Pusat Memancing Thye yang terletak di Merbok.
Pelbagai keistimewaan yang ditawarkan di sini apabila anda dapat melihat sendiri 111 jenis klon buah mangga yang diimport dari luar negara, proses penghasilan air nira, jelly nira serta pelbagai kebaikan yang boleh dimanfaat daripada buah nira yang jarang-jarang sekali dapat dilihat di mana-mana tempat.
Sementara itu, di Pusat Memancing Thye pula anda dapat melihat sendiri pengalaman memancing yang pastinya memberikan 1001 kenangan manis buat anda yang baharu pertama kali memegang batang kail.
Untuk penginapan pada malam pertama trip tersebut, rombongan kami menginap di The Regency Jerai Hill Resort, Gurun.
Pada hari kedua, kami dibawa melawat ke Pusat Penggalian Air Mineral Charok Tualang di Sik yang mana kami ditunjukkan dengan proses pembuatan air mineral yang beroperasi di sana.
Selepas itu, rombongan bergerak pula ke Ladang Anggur yang terletak di Tasik Beris dan ke Pusat Pertanian di Batu Seketul di daerah yang sama iaitu Sik.
Pada sebelah petangnya kami bergerak pula ke Homestay Desa KEDA Ulu Legong yang terletak di Baling, Kedah.
Di sini kami dihiburkan dengan tarian sewang daripada Orang Asli Ulu Legong selain dihidangkan dengan kopi yang dihasilkan sendiri oleh mereka iaitu Kopi Cik Kiah serta kuih tradisi masyarakat di sini iaitu Cucur Jawa dan kuih Sembelit.
Malam kedua pula kami semua beradu di Hotel Bayu yang terletak di daerah Baling.
Meneruskan penggembaraan pada hari ketiga, kami memulakan perjalanan dengan singgah sebentar di pusat pembuatan ais krim yang tak jauh daripada hotel kami menginap, dan kemudiannya terus bergerak ke Pusat Pengumpulan Madu Kuala Nerang yang turut menjual produk madu lebah asli di premis terbabit.
Selepas itu, kami bergerak pula ke Pusat Penternakan Rusa Kampung Semaliang iaitu Semaliang Agro Farm di Kuala Nerang untuk merasai sendiri keseronokan memberi makan kepada rusa selain meninjau dengan lebih dekat lagi habitat mereka di situ. Memang satu pengalaman yang menyeronokkan dan unik! Memang berbaloi jika anda ingin membawa anak-anak untuk lebih mengenali lagi mengenai haiwan eksotik ini.
Pada sebelah petangnya pula, rombongan kami dibawa pula ke kawasan perusahaan Batik Merbok yang mana menjual batik-batik yang kebanyakannya merupakan hasil rekaan pelajar jurusan seni halus dari Universiti Teknologi Mara, Merbok.
Antara jenis-jenis batik yang diusahakan ialah batik canting, batik terap/blok dan juga batik skrin.
Penamat pada trip kali ini adalah Muzium Padi Negeri Kedah yang sememangnya wajib dikunjungi sekiranya anda bercuti di Alor Star.
Muzium ini memberi pelbagai informasi berguna mengenai cara-cara padi dituai sehinggalah terhasilnya beras yang menjadi makanan ruji masyarakat Timur.
Staf di muzium ini juga sedia membantu sekiranya anda mahukan penerangan lanjut berhubung proses-proses yang terlibat dalam penghasilan beras.
Keseluruhannya, boleh dikatakan kunjungan Sahabat Media Kedah memang memberikan 1001 pengalaman mengembara yang baharu kerana jika selama ini kita lebih didedahkan dengan ‘luxury vacation’, apa kata sekali-sekala kita keluar daripada kepompong dengan meneroka pelbagai keunikan agro tourism yang pastinya memberikan kelainannya yang tersendiri.
Apa yang pasti, jika anda berkunjung ke negeri Jelapang Padi, jangan lupa untuk singgah ke tempat-tempat yang telah kami lawati untuk merasai sendiri pengalaman-pengalaman yang dikongsikan tadi!
Selamat menggembara dan meneroka agro tourism yang terdapat di Kedah! – MYNEWSHUB
Oleh: JULIANA JOHAR