PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kementerian Pendidikan, Kompleks E di sini untuk mempengerusikan mesyuarat khas bagi memperhalusi Prosedur Operasi Standard (SOP) penyediaan kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Turut sama, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Timbalan Menteri Pendidikan I dan II, Datuk Mary Yap Kain Ching dan P Kamalanathan; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad; dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Misrah Ibrahim.
Berikutan kebocoran itu, peperiksaan semula subjek Bahasa Inggeris bagi UPSR akan diadakan pada 30 September ini. Peperiksaan subjek Sains yang ditangguhkan berikutan kebocoran juga akan diadakan pada tarikh sama.
Jumaat lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan mengumumkan penggantungan tugas serta merta Pengarah Lembaga Peperiksaan, Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas peperiksaan UPSR 2014 selesai. – BHarian Online