KUALA LUMPUR – Tindakan pantas pihak berkuasa menyiasat dan menahan mereka yang disyaki terlibat dengan kes kebocoran soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilihat mencerminkan ketelusan dan kejujuran kerajaan.
Ia juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan menyiasat dalang kes berkenaan sehingga ke akar umbi serta menghantar mesej jelas bahawa kerajaan dan pihak berkuasa tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya terhadap sesiapa yang terlibat.
Presiden Persatuan Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata tindakan itu adalah wajar dan tepat pada masanya.
“Ini terbukti kerajaan tidak ‘memilih bulu’ dalam mengambil tindakan dan menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja didapati terlibat.
“Hukuman berat perlu dikenakan kepada mereka yang didapati bersalah bagi mengelakkan kejadian sama berulang di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Terkini polis semalam menahan dua individu iaitu seorang guru dan seorang ejen insurans dalam serbuan di Kuala Ketil, Kedah dan Sentul di sini berhubung kes tersebut selepas menahan tiga guru lelaki dan seorang guru wanita dalam serbuan di Pulau Pinang dan Perak pada Sabtu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Gan Kong Meng dalam kenyataannya hari ini berkata dua daripada mereka telah dibebaskan atas jaminan polis dan empat orang hari ini direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan.
Noor Azimah, bagaimanapun meminta orang ramai tidak menuding jari kepada warga pendidik semata-mata kerana terdapat beberapa pihak lagi yang mempunyai akses dalam proses pengendalian kertas soalan peperiksaan.
Berikutan kebocoran itu, kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 dibatalkan setelah murid menduduki peperiksaan itu manakala kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 ditangguhkan sebelum mereka mengambilnya.
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menetapkan 30 Sept ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kedua-dua kertas itu.
Susulan itu juga, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah LPM Dr Na’imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai.
Sementara itu, Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen memuji tindakan cepat dilakukan pihak berkuasa dan kementerian pendidikan dalam menangani insiden berkenaan.
“Saya melihat ia satu tindakan berani dan berjiwa besar dilakukan oleh TPM selaku Menteri Pendidikan termasuk memohon maaf kepada ibu bapa dan rakyat yang menunjukkan rasa tanggungjawab, tidak lepas tangan terhadap insiden ini,” katanya.
Mohd Rafiq yang juga Exco Pemuda Umno Kebangsaan, mencadangkan diwujudkan satu pelan kecemasan agar terdapat set soalan gantian andainya terjadi kes sebegini pada masa depan.
Ini bagi memastikan tiada sebarang penundaan tarikh peperiksaan yang boleh menjejaskan emosi pelajar terlibat, katanya.
“Perlu ada satu mekanisme dan penambahbaikan dalam SOP (Prosedur Operasi Standard) dalam hal berkaitan agar ia tidak berulang terutama dalam usaha menjadikan negara sebuah hab pendidikan dunia,” katanya.
Seorang guru mata pelajaran Sivik di Sekolah Menengah Peh Hwa, Muar, Johor,Zainab Tukinon, 44, berkata tindakan tegas kerajaan tidak melindungi mana-mana warga pendidik yang disyaki terlibat merupakan satu tindakan telus di bawah pimpinan Muhyiddin.
“UPSR mungkin peperiksaan yang ‘simple’, namun ia sangat menjejaskan integriti perguruan, ini satu pengajaran buat mana-mana guru yang mengkhianati kepercayaan diberikan kepada mereka”.
Katanya hukuman terhadap sesiapa yang dibuktikan terlibat akan menjadi pengajaran kepada mereka yang terlibat dan juga masyarakat. – BERNAMA