Kalau ikutkan hati memanglah setiap kali penjahat seperti peragut berjaya ditangkap orang awam, kita berasakan mereka mesti diajar supaya serik dan tak mengulangi perbuatan keji di masa hadapan.
Tapi dah banyak kes membuktikan, orang ramai yang cuba menghukum kadang kala melebih-lebih sangat – ibaratnya sengaja ambil kesempatan untuk melepaskan hajat memukul orang yang dah lama diidamkan mereka termasuk dengan menghayun penumbuk dan penendang ke muka penjenayah sekuat hati.
Sebagai contoh aksi orang ramai membelasah seorang peragut yang diikat kaki dan tangannya selepas kantoi mencuri telefon bimbit seorang pemandu lori bernilai RM200 di Pulau Pinang ini memang melampaui batas.
http://www.youtube.com/watch?v=mnfSNDBkgyA
Sudahlah kaki dan tangannya diikat sampai tak berdaya buat apa-apa melainkan terbaring di sebelah longkang; peragut itu ditendang, dipukul dengan selipar dan seorang lelaki turut bertindak mencucuh api rokok pada tangan serta wajahnya tanpa belas kasihan!
Tak hairanlah, peragut tersebut yang cedera parah ketika polis tiba akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Bukit Mertajam, jam 12.40 pagi semalam.
Menurut maklumat dibekalkan Ketua Polis Seberang Perai Tengah, ACP Rusli Mohd Noor penganggur dikenalpasti sebagai Ooi Sim Guan, 38, pada mulanya menahan sebuah lori jam 2 pagi Jumaat lalu untuk menumpang pergi ke bandar Bukit Mertajam.
Namun selepas beberapa kilometer Ooi minta diturunkan dan permintaannya dituruti pemandu lori.
Tak berapa lama kemudian pemandu lori menyedari telefon bimbitnya hilang lalu berpatah balik ke Taman Samudera untuk mencari Ooi lalu menemuinya berhampiran kawasan kedai.
Pemandu lori menemui telefon bimbitnya pada Ooi lalu berlaku perbalahan antara mereka.
Apabila orang awam mengetahui perkara ini mereka turut sama membelasah mangsa sebagai mana dalam rakaman video yang kini viral di Facebook.
Kini pemandu lori terbabit telah ditahan untuk siasatan manakala beberapa individu lain yang mungkin terlibat turut diburu polis.
Hai, ikutkan nafsu amarah punya fasal sebuah telefon bimbit berharga RM200 membuatkan seseorang kehilangan nyawa manakala beberapa yang lain mungkin kehilangan masa depan. Berbaloi ke? – MYNEWSHUB
REM RAMZI/MYNEWSHUB.CC