Sesal dahulu pendapatan,sesal kemudian tiada gunanya. Itulah yang boleh dikatakan terhadap blogger ‘berani mati’ Vivian Lee. Umum tahu beliau telah putus cinta dengan kekasihnya Alvin Tan selepas wanita itu ‘kantoi’ curang bersama rakan baik Alvin sendiri. Nama Alvin dan Vivian, atau lebih dikenali sebagai Alvivi, meniti di bibir rakyat Singapura dan Malaysia apabila mereka dengan lantangnya mengabadikan eksploitasi seksual mereka secara terangan di Internet. Sudah lumrah orang muka tak tahu malu, kontroversi menjadi jamahan lazim bagi pasangan sensasi ini. Ramadhan tahun lalu, mereka mencetuskan kemarahan umat Islam Malaysia dengan memuatnaik gambar menghina kesucian bulan penuh keberkatan itu. Oleh kerana gambar itu jugalah mereka berdua dihadapkan ke mahkamah dan Alvin disumbat ke dalam penjara Sungai Buloh selama seminggu. Hari ini, kehidupan Vivian jauh berubah daripada tahun lalu. Tiada lagi gambar-gambar intim dan saat-saat hangat di ranjang mereka dirakamkan,malah Vivian kini hidup hanya untuk mendapat kembali cinta Alvin. “Terlalu banyak yang perlu saya kesali sejak blog kami mendapat perhatian ramai: saya telah dibuang ibubapa, ditangkap polis dan hampir dipenjarakan; namun saya tidak peduli semua itu. Saya telah hilang kepercayaan daripada teman lelaki,” jelas wanita berusia 25 tahun itu dalam sebuah wawancara bersama The New Paper,Singapura. Alvin khabarnya terlampau terpukul dengan kecurangan Vivian sehingga mengakui hatinya telah tertutup buat wanita itu.
“Apa yang dia mahu saya katakan? ‘Ooops, salah saya; saya minta maaf’?Tak dapat la,ini langsung tak ‘cool'”, kata Alvin semasa ditemubual akhbar yang sama. Apabila bertanyakan kesahihan suara-suara nakal yang mengatakan cinta tak kesampaian mereka ini hanyalah publisiti murahan semata-mata, Vivian menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu. Nampaknya ‘cinta mati’ Vivian terhadap Alvin memang menebal sehingga dia sanggup buang emak,buang saudara semata-mata untuk meraih kembali hati lelaki itu. “Walaupun saya bukanlah hak milik penuhnya secara seksual, namun kami mempunyai komitmen dari sudut emosional. Saya benar-benar rindukan Alvin dan akan cuba apa jua cara untuk memenangi hatinya,” jelas Vivian menutup perbualan. Oleh SARA KHALID