KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akhirnya akur dengan keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah yang mahu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar negeri itu.
Malah, Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail malam ini mengumumkan beliau bersetuju dengan pelantikan itu dan menarik diri daripada pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.
Beliau bagaimanapun mendakwa terpaksa membuat keputusan itu demi kepentingan rakyat atas kesedaran bahawa krisis jawatan Menteri Besar Selangor perlu diselesaikan secepat mungkin.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada 29 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang memberi sokongan kepada saya sejak 14 Ogos 2014 dan membolehkan pakatan kekal sebagai kerajaan di Selangor.
“Saya menghargai kesepakatan 29 ADUN ini yang meletakkan kepentingan menjaga mandat rakyat mengatasi kepentingan peribadi mereka.Atas semangat itu, saya telah membuat keputusan untuk menarik diri dari pencalonan sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azizah menjelaskan, beliau telah mencadangkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR agar Mohamed Azmin yang juga ADUN Bukit Antarabangsa diangkat sebagai calon Menteri Besar Selangor dan MPP PKR yang bermesyuarat hari ini sebulat suara bersetuju dengan cadangan itu.
Menurutnya, PKR kekal mempertahankan prinsip demokrasi raja berpelembagaan berikutan keputusan parti itu namun mendakwa proses perlantikan berkenaan tidak menepati peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.
“Saya telah menyatakan pandangan saya kepada pimpinan parti mengenai beberapa program khusus yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri untuk mengangkat martabat dan kebajikan rakyat Selangor,” katanya.