BAGAN DATOH – Seorang wanita berusia 40-an ditemui lemas di Sungai Bernam oleh anggota bomba dan penyelamat petang tadi selepas dilaporkan hilang kira-kira lima jam sebelum itu.
Jurucakap bomba berkata, orang ramai melihat wanita itu terjatuh ke dalam sungai berkenaan yang mempunyai kedalaman lapan meter ketika berada di RNH Fishing, Parit 25 di Hutan Melintang, sebelum dihanyutkan arus deras kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Katanya, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Hutan Melintang dibantu anggota Balai Bomba Teluk Intan serta anggota polis menyertai misi mencari dan menyelamat mangsa diketuai Ketua Operasi, Pegawai Bomba Wan Zakiri Wan Mohd Noor.
“Selepas beberapa jam operasi, kami berjaya menemui jasad mangsa di pesisiran sungai berkenaan pada jam 5.43 petang tadi,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan pengecaman dan tindakan selanjutnya. – BH Online