PASIR PUTEH – Pergerakan Wanita Umno menubuhkan skuad Jalinan Rakyat bagi mendekati pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, skuad itu yang dianggotai kira-kira 1,000 anggotanya akan berkempen dari rumah ke rumah bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail, pada PRK itu.
“Skuad ini juga memberi tumpuan kepada pengundi baharu dan suri rumah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Pasir Puteh di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil di sini, hari ini.
BN menamakan bekas penolong pegawai pendidikan Daerah Tumpat, Mat Razi Mat Ail, 48, untuk mempertahankan kerusi itu manakala Pas menamakan setiausaha parti itu di kawasan Tumpat, Wan Rosdi Wan Ibrahim sebagai calonnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon dan 25 September sebagai hari mengundi.
PRK Dun Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Noor Zahidi Omar dari BN pada 20 Ogos lepas.
Pada PRU ke-13, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi. – BERNAMA