IPOH – Sebanyak 11 peserta Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjayakan cabaran ekspedisi mendaki gunung tertinggi di Malaysia ‘OKU Mount Kinabalu Challenge 2014’ akan memulakan pendakian esok.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata program yang mendapat sokongan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) itu adalah program yang cukup istimewa bagi golongan OKU.
“Program ini cukup istimewa kerana ia melibatkan peserta OKU yang menyahut cabaran pendakian gunung tertinggi di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis doa selamat program itu di sini, malam tadi.
Ketua Ekspedisi Jaafar Sidek Razali berkata program yang akan berakhir pada 18 Okt itu melibatkan 30 peserta yang terdiri daripada 11 OKU dan pegawai pengiring.
Beliau berkata kesemua peserta OKU yang mempunyai masalah Sindrom Down itu adalah daripada lima pusat Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Perak iaitu PDK Kampar, PDK Besout, PDK Lawin, PDK Lasah dan PDK Trolak.
Jaafar berkata kumpulan itu menjalani latihan di beberapa tempat selama dua tahun antaranya Gunung Batu Putih dan Gunung Bujang Melaka di Perak untuk persediaan mental dan fizikal peserta.
“Melatih golongan OKU untuk misi pendakian ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana mereka perlu dilatih untuk mengawal emosi dan tenaga,” katanya.
Seorang peserta Ahmad Zahir Mohd Hussin, 32, berkata beliau amat gembira kerana berpeluang menyertai program pendakian itu.
“Saya berasa gembira untuk menyertai program sebegini kerana ia membuka peluang kepada saya mengenali orang lain dan mendapat pengalaman baharu,” katanya.
Seorang lagi peserta Mohd Azuan Hamzah, 21, berkata dia mendapat kebenaran keluarganya untuk menyertai program yang diminatinya itu.
“Keluarga saya tidak menghalang saya untuk menyertai program ini kerana mereka tahu kemampuan dan minat saya,” katanya. – BERNAMA