MILAN (Itali) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini Rabu untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) Ke-10.
Pesawat khas membawa beliau dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Tentera Linate di sini pada kira-kira 8.30 pagi (2.30 petang waktu Malaysia).
Ketibaan delegasi perdana menteri disambut Duta Besar Malaysia di Itali Datin Paduka Halimah Abdullah dan para pegawai kedutaan.
Bertemakan ‘Perkongisan Bertanggungjawab bagi Pertumbuhan dan Keselamatan,’ sidang kemuncak dua hari itu, yang bermula Khamis, akan membincangkan isu antara rantau Asia-Eropah, yang meliputi bidang politik, ekonomi dan tonggak sosiobudaya rangka kerja kerjasama ASEM.
Ia termasuk cabaran keselamatan tradisional dan bukan tradisional, pemulihan ekonomi dan kewangan, pengukuhan kesalinghubungan, pembangunan lestari, hak asasi manusia dan arah tuju masa depan ASEM.
ASEM ditubuhkan pada 1996 sebagai forum dialog dan kerjasama antara Asia dan Eropah. Sidang kemuncak kali ini mempertemukan 53 negara dari dua benua itu.
Setiap dua tahun, ketua negara dan kerajaan ASEM bertemu pada sidang kemuncak untuk menetapkan perkara yang menjadi keutamaan ASEM. Ia diadakan secara bergilir di Asia dan Eropah.
Malaysia bertindak sebagai penyelaras bagi Asean pada sidang kemuncak kali ini.
Najib, antara lain, akan menyampaikan kenyataan pada sidang pleno pertama sidang kemuncak itu.
Ketika berada di sini, beliau juga dijadual menyertai Forum Perniagaan Asia-Eropah dan mengadakan perjumpaan dengan para pemimpin Asia dan Eropah. – BERNAMA