ALOR SETAR – Dua remaja lelaki berusia 16 tahun hilang selepas terjatuh ke dalam laut ketika memancing di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani hari ini.
Jurucakap jabatan bomba dan penyelamat berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 1.25 tengah hari dan jentera yang pertama tiba di tempat kejadian pada pukul 2.09 petang.
Beliau berkata menurut laporan awal yang diterima daripada orang awam, dua remaja itu terjatuh ke dalam laut dan hanyut.
Mereka memancing pada jarak satu kilometer dari pantai.
“Anggota seramai 17 orang dikerahkan ke tempat kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi. – BERNAMA