KANGAR – Sepasang suami isteri antara empat pengusaha kedai runcit yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap tuduhan memiliki barang larangan iaitu rokok pelbagai jenama yang belum diluluskan Kastam.
Majistret Norhayati Ibrahim memerintahkan Ooi Cheng San, 50, didenda RM6,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku memiliki dua paket rokok bernilai RM445.35 di premisnya di Kuala Perlis pada 1.10 tengah hari, 28 Nov 2013.
Ahmad Said, 65, pula didenda RM200 atau sebulan penjara kerana memiliki lima paket rokok yang belum diluluskan Kastam bernilai RM16.12 di kedainya di Jejawi pada 11.40 pagi, 25 Jun lepas.
Pasangan Lim Ah Kian, 40, dan isterinya Carin Kiang, 36, masing-masing didenda RM1,400 atau penjara enam bulan kerana memiliki sembilan paket rokok bernilai RM102.97 di kedai mereka di Jalan Panggas, Chuping pada 4 petang, 7 Mac lepas.
Kesemua tertuduh menjelaskan denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Perlis, Abdul Malek Awang Kechik@Ramli manakala pasangan suami isteri itu diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norherdawati Harun. – BERNAMA