PUTRAJAYA – Seramai 43 rakyat Malaysia akan tiba dari Sana’a, ibu negara Yaman, pagi esok.
Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) menyatakan kumpulan pertama itu berlepas dari Sana’a pada 3 pagi (waktu tempatan) 6 Oktober dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 8.55 pagi esok.
“Kumpulan kedua seramai 20 orang termasuk sembilan kanak-kanak pula dijangka berlepas dari Sana’a pada 8.30 pagi (waktu tempatan) 6 Oktober.
“Kumpulan itu yang berpecah kepada dua kumpulan di Abu Dhabi dijangka tiba di KLIA pada 8.50 malam esok dan 8.25 pagi Rabu,” kata PERMAYA dalam laman Facebook.
Persatuan itu berterima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Yaman kerana membantu melancarkan proses penghantaran pulang rakyat Malaysia itu.
Kerajaan membawa mereka pulang berikutan pertempuran antara pergerakan Syiah Houthi dan tentera kerajaan yang menyaksikan pemberontak menguasai beberpa institusi penting di ibu negara itu.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Yaman menerusi talian 009671429781 dan 009671429782 atau emel [email protected]. – BERNAMA