Mungkin dibuai dengan pelbagai janji manis yang ditabur sindiket ‘gores dan menang’, sesetengah individu yang termakan umpan, sanggup menghabiskan wang beribu tanpa sedar mereka ditipu hidup-hidup,
Di Negeri Sembilan, laporan dari awal Januari sehingga Oktober menunjukkan sebanyak 285 kes ‘gores dan menang’ berlaku dan melibatkan kerugian mencecah RM 5.6 juta.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, seramai 70 suspek ditahan manakala 31 individu didakwa di mahkamah sepanjang tahun ini.
Walau bagaimanapun, setakat ini mereka hanya didakwa di bawah Akta Kesalahan Kecil 1955.
“Pihak kami sedang berusaha untuk mendapatkan kesemua suspek dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu penjara sehingga 10 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media.
Ujarnya lagi, pihak berkuasa sentiasa membuat pemantauan terutama di pasar raya besar, namun sindiket ini licik kerana sering kali menghilangkan diri apabila menghidu kehadiran polis.
Tambahnya, pelbagai inisiatif akan terus dilakukan bagi menghalang sindiket meneruskan aktiviti penipuan mereka yang memberi kesan negatif kepada masyarakat. – MYNEWSHUB.CC
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR