KOTA KINABALU – Selepas lebih 72 jam berdepan ombak kuat dan cuaca buruk di tengah lautan termasuk hilang hampir 28 jam, lima kru daripada tujuh bot tempur CB204 selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini, tepat jam 12.50 tengah hari tadi.
Mereka tiba bersama bot tempur yang ditunda oleh Kapal Diraja (KD) Ganas sejak jam 4 pagi semalam selepas ditemui keletihan berhampiran Terumbu Layang-Layang di perairan pantai barat Sabah pada jam 6.49 petang kelmarin, kira-kira 90 batu nautika dari sini.
Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2, Datuk Mohd Rosland Omar serta ahli keluarga dan sanak-saudara yang menunggu di jeti Pangkalan TLDM di sini.
Lima kru itu ialah Leftenan Azri Bakar yang mengetuai CB204, Bintara Muda Ince Ewin, Bintara Muda Nor Azuan Ariffin, Leftenan Komander Sulhajji Daah dan Lans Koperal I Azhry Maani.
Petang semalam, dua kru bot terbabit, Bintara Kanan Charles Cristopher Muni dan Bintara Muda Steven Hudson yang mengalami masalah kesihatan, diterbangkan terus ke Pangkalan TLDM dengan pesawat Super Lynx untuk mendapatkan rawatan segera di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.
Charles dilaporkan mengalami sakit perut manakala Steven terkena renjatan elektrik.
CB204 hilang di perairan Pulau Mengalum, kira-kira 30 batu nautika dari sini, jam 11.15 pagi Ahad lalu selepas hilang komunikasi dengan kapal pengiring KD Paus ketika dalam pelayaran ke Terumbu Layang-Layang.
Berikutan itu, TLDM melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dibahagikan di empat sektor di perairan pantai barat Sabah sebelum menerima isyarat daripada CB204 pada jam 3 petang kelmarin.
Bot berkenaan kemudian ditemui selamat pada jam 6.49 petang hari sama. – BH Online