KUALA LUMPUR – Proses pendaftaran pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjaya menarik 71,916 syarikat sehingga 1 Okt.
Timbalan Ketua Pengarah (GST) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Zainul Abidin Taib berkata pada 30 Sept sahaja, 6,000 syarikat mendaftar.
“Angka itu sangat menggalakkan berdasarkan kesedaran terhadap GST, dan program lain yang dilaksanakan oleh Jabatan Kastam secara menyeluruh.
“Jika momentum ini berterusan, saya yakin sasaran mendaftarkan 300,000 syarikat boleh dicapai menjelang akhir tahun,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ekspo dan Persidangan GST 2014 di sini hari ini.
Ekspo dan Persidangan 2014 pertama itu antara lain bermatlamat membantu memenuhi kehendak pelawat yang mencari penyedia penyelesaian GST, memperoleh perunding GST yang tepat dan perisian GST, selain penyedia latihan.
Mengenai garis panduan industri dan pembeli, Zainul Abidin berkata ia belum dapat dimuktamadkan, dan kini menunggu kelulusan pembuat dasar.
Mengulas isu kelewatan syarikat mendaftar kerana menunggu garis panduan itu, beliau berkata ia ‘hanya alasan semata-mata’ memandangkan garis panduan itu tidak terlalu penting.
Syarikat yang layak melaksanakan GST wajib mendaftar dengan Jabatan Kastam.
Jika gagal berbuat demikian sehingga 31 Dis 2014, mereka boleh didenda sehingga RM30,000 dan penjara tidak lebih dua tahun. – BERNAMA