Dilaporkan hilang selama lapan hari, pencarian akhirnya membuahkan hasil apabila seorang kanak-kanak berjaya ditemui di dalam sebuah lubang sedalam 18 meter.
Kejadian ini berlaku di Bandar Shenyang, Wilayah Lioning, China, apabila kanak-kanak tersebut, Wong Jiang terjatuh ke dalam lubang ketika sedang bermain di kawasan rumahnya.
Menyedari ketiadaan Jiang, kedua-dua ibu bapanya membuat laporan polis bagi membantu pencarian.
Pelbagai teori menyusul selama seminggu kerana kanak-kanak tersebut gagal ditemui walaupun usaha mencari dipergiat bersama jiran-jiran dan para sukarelawan.
Walau bagaimanapun, masuk hari kelapan operasi, Jiang berjaya ditemui dalam keadaan takut dan keletihan.
Pasukan tentera dihantar ke tempat kejadian untuk usaha mengeluarkan Jiang kerana saiz lubang yang sempit.
Menurut laporan, tentera yang memiliki tubuh badan kurus dipilih untuk masuk ke dalam lubang bagi mengeluarkan Jiang.
Pada awalnya, Jiang enggan untuk diselamatkan kerana terlalu trauma, namun selepas berinteraksi dengan ibunya, kanak-kanak malang tersebut akhirnya menurut arahan.
Hampir satu jam diambil untuk mengeluarkan Jiang kerana terdapat banyak paip dan batu di sepanjang laluan untuk keluar.
Jiang kemudiannya dibawa ke hospital untuk pemeriksaan akibat implikasi kekurangan air dalam badan, kesejukan dan kelaparan. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR