SEBELUM ini ramai pihak terutama umat Islam berasa terpukul  dengan “October Fest” namun secara tiba-tiba isu pesta minum arak ini terus sunyi, digantikan pula dengan acara  “I Want To Touch A Dog”.
Secara jujurnya, apakah motif penganjuran acara-acara seumpama ini pada masyarakat kita.
Selama ini setelah hidup berpuluh-puluh tahun dalam suasana majmuk dan harmoni, penganjuran acara-acara seperti ini bak jarum yang halus, mencucuk perlahan-lahan ke dalam masyarakat, maaf dikatakan ia hanyalah agenda untuk memecah belahkan perpaduan sedia ada.
Tidak perlu dicanangkan mengapa arak dan anjing tidak boleh bagi masyarakat Islam.
Waima kamu berbangsa Hindu, Budha, Kristian dan menetap di Malaysia, dari zaman nenek moyang kita, sudah sedia maklum dan saling hormat menghormati pegangan agama antara satu sama lain. Apa, terlalu berat sangatkah untuk menghormati prinsip dan ajaran agama masing-masing?
Menyentuh penganjuran ‘nak sentuh anjing’ kononnya untuk menghilangkan rasa takut pada makhluk Allah yang satu ini, mungkin yang menyertainya kurang cerdik, kurang agama, terpedaya ataupun ingin ‘feeling’ moden sedikit dengan budaya bela anjing.
Maklumlah, kebelakangan ini ramai selebriti yang dah berani ‘expose’ kan anjing ‘as best friend’, tanpa disedari ramailah anak remaja kita yang heboh nak meniru. Iyer, memang bangsa kita gemar meniru budaya orang. Itu tak dapat dinafikan!
ARTIKEL BERKAITAN: ‘I Want To Touch A Dog’ Raih Sambutan Masyarakat Islam
Program ini mendapat respon balas dari ramai ahli agama yang menganggap penganjurannya mampu mencipta fitnah, kekacauan dan kekeliruan.
Benar, ada mazhab menyatakan tubuh anjing bukan najis jika tidak terdapat air liur atau najis pada tubuh binatang itu (najis mughallazah) tapi kita harus menghormati pegangan rakyat Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Syafie. Mengapa penganjur tidak merujuk dulu kepada alim ulama untuk menganjurkan program ini? Apakah motifnya?
Jika ingin diulas terlalu panjang berjela kenapa program ‘sentuh anjing’ ataupun ‘pesta minum arak’ sememangnya tidak boleh dan tidak menghormati Islam sebagai agama rasmi negara ini.
Bukankah sekarang zaman maklumat di hujung jari, terlalu mudah untuk mendapatkan sesuatu info mahupun berhubung dengan para cerdik pandai sesuatu bidang (jika mahu) kecuali ada agenda tersembunyi.
Hari ini mungkin sentuh saja, esok lusa nak bela pula. Hari ini mungkin tengok saja pesta mabuk, esok lusa anak-anak kita terpedaya dan mahu cuba!
Benarlah, jika ini agenda halus puak-puak yang tidak diketahui siapa mereka itu, maka umat Islam sendiri yang perlu mengukuhkan jati diri dan pegangan agama serta melengkapkan segala ilmu di dada.
Hanya dengan asas agama yang kuat, itu saja yang mampu menjadi pendinding dan benteng dari melihat agama, bangsa dan negara kita terus dicuit dan diusik.
Kita lihat selepas ini, apa pula agenda seterusnya? Dan ketika itu, masih kukuhkah pegangan dan jati diri bangsa kita, agama kita? Tunggu… – MYNEWSHUB.CC
Oleh: KAKAK KAWASAN