ANAK tiri Datuk Siti Nurhaliza, Mohd Adib Datuk Seri Khalid dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios/Tune Records bermula 9 Oktober lalu.
Adib, 24, menerusi laman Instagram miliknya memberitahu, selain memegang jawatan tertinggi itu dia juga bertindak sebagai pemegang saham syarikat kumpulan Tune tersebut berkuatkuasa 9 Oktober lalu.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua di Tune Group terutamanya Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes di atas kepercayaan diberikan kepada saya untuk memikul tanggungjawab dan mengalu-alukan kedatangan saya ke dalam keluarga Tune,” kata Adib dalam status Instagram miliknya.
Sebelum ini, jawatan itu dipegang oleh Allahyarham Jeremy Ahmad Maikel. Jeremy, 31, yang memegang jawatan tersebut sejak 2012 meninggal dunia pada 9 April lalu di Mekah, Arab Saudi semasa mengerjakan Umrah.
Adib, yang sedang berpacaran dengan pelakon terkenal, Izara Aishah sebelum ini mempunyai syarikat rakamannya sendiri iaitu What’s Up Entertainment yang bertanggungjawab menerbitkan album Inggeris ibu tirinya iaitu Datuk Siti Nurhaliza berjudul All Your Love.
Dalam pada itu, memetik mStar, Adib dalam kenyataannya berjanji akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan menghidangkan muzik terbaik kepada peminat di seluruh rantau Asia.
“Saya tidak sabar untuk memberikan peminat di rantau ini hiburan muzik terbaik,” katanya lagi.
Tune Studios/Tune Records adalah studio rakaman terbesar di Malaysia menyediakan peralatan rakaman audio dan produksi dengan lebih 10 bilik studio yang terletak di Klang, Selangor.
Selain kerja-kerja rakaman, ia juga menyediakan kelas pendidikan dan latihan muzik yang terbuka kepada orang ramai dan pemain dalam industri seni.
Selain syarikat rakaman, Tune juga mempuyai rangkaian hotel seluruh negara yang mana ia merupakan anak syarikat kepada AirAsia Berhad milik Kamarudin dan Tony Fernandes.
– MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA