Anak saudara mendiang Pengerusi DAP Karpal Singh, Dalbinder Singh Gill menjadi individu terbaru ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana kemaskini Facebooknya yang mempersoalkan hak bumiputera dan institusi raja.
Dalbinder yang merupakan seorang pelajar undang-undang ditahan malam tadi.
Sebelum itu, dua anggota polis dari Unit Jenayah Siber Bukit Aman datang ke rumah Dalbinder di Jesselton Heights, Pulau Pinang tetapi dia tidak berada di rumah.
Dalbinder kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Jalan Patani pada pukul 10.45 pagi untuk disoal siasat.
Laman portal Malaysiakini melaporkan dia kemudian dibebaskan dengan jaminan polis pada kira-kira pukul 1.30 pagi.
Dia ditemani ibunya, dua rakan, seorang peguam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Cheah Kah Peng yang bergegas dari Permatang Pauh untuk ke IPD tersebut.
“Saya diberitahu, polis yang membuat laporan terhadap saya, mendorong mereka menahan saya.
“Polis merampas iPhone dan iPad saya untuk membantu siasatan, mereka bawa saya kembali ke rumah saya untuk mendapatkan iPad saya,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.
Dia berkata dia perlu melaporkan diri semula di IPD sama dalam tempoh sebulan. – MYNEWSHUB
Oleh : IBNU K