Anak sulung ratu Jazz negara Dato’ Sheila Majid iaitu Kayda Aziz mengakui dirinya pernah kecewa apabila sering kali dikaitkan dengan nama ibunya jika bercakap mengenai penglibatannya dalam bidang seni.
Orang ramai di luar sana sering kali mengatakan dia menumpang populariti ibunya yang sememangnya bukan calang-calang orang dalam industri seni tempatan.
“Saya menyampah apabila nama saya terus dibayangi serta dikaitkan dengan populariti ibu. Walau bagaimanapun, saya memandang perkara ini dari sudut positif kerana ia sedikit sebanyak dapat memberi kekuatan kepada saya untuk membuktikan kepada semua bahawa saya tidak menumpang populariti ibu. Saya mahu menunjukkan bakat yang ada pada diri saya dan mahu mengubah persepsi masyarakat.
“Kalau betul saya tumpang populariti ibu, dah lama saya sudah mempunyai album sendiri. Kadang-kadang orang lupa nama saya sebab itu saya berjuang untuk membina nama dalam industri. Saya bekerja keras dan perlahan-lahan merangkak agar dapat keluar dari tanggapan sebegini. Walaupun saya kecewa dan menyampah dengan hal ini, namun saya bangga jadi anak kepada Sheila Majid,” ujarnya memetik portal Gua.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Kayda dan Hunny Madu kini telah bernaung di bawah syarikat muzik antarabangsa, Warner Music Malaysia untuk mengembangkan lagi karier nyanyian mereka. – MYNEWSHUB
Oleh: AUDREY LEE