IPOH – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas dua tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM700 tahun lalu.
Syed Mohd Fitri Syed Mohamad, 27, yang bertugas di Balai Polis Pantai Remis, dekat sini, didakwa menerima suapan sebanyak RM200 daripada seorang warga Myanmar di Kampung Cina Pantai Remis, kira-kira jam 4 petang pada 29 November tahun lalu, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap warga asing terbabit yang kononnya melakukan kesalahan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Bagi pertuduhan kedua, Syed Mohd Fitri didakwa secara rasuah bersetuju menerima suapan sebanyak RM500 daripada warga Myanmar sama melalui perbualan telefon di Pejabat SPRM Perak pada jam 12.07 tengahari, 9 Disember tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum RM10,000 atau 10 kali ganda nilai suapan yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mukhriz Mat Rus di hadapan Hakim Madihah Harullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan 7 November ini untuk kes itu disebut semula. – BH Online