OTTAWA: Bangunan parlimen Kanada dikawal ketat pihak polis selepas insiden pencerobohan oleh sekumpulan lelaki bersenjata pada Rabu.
Dalam insiden berkenaan seorang anggota tentera yang juga seorang pengawal di Memorial Perang Kebangsaan negara itu, ditembak mati.
Mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Koperal Nathan Cirillo, 24 tahun, seorang pegawai unit simpanan tentera yang berpangkalan di Hamilton, Ontario.
Dua lagi termasuk seorang pengawal keselamatan di blok tengah parlimen cedera dalam insiden itu namun kedua-duanya dilaporkan stabil.
Turut terbunuh salah seorang daripada penyerang yang dikenal pasti sebagai Michael Zehaf-Bibeau, seorang warga Kanada yang ditembak mati.
Polis kini sedang menggandakan misi memburu sekurang kurangnya dua lagi suspek yang turut terlibat dalam serangan berkenaan.
Ekoran kejadian itu pihak polis menutup kawasan parlimen dan pejabat Perdana Menteri Kanada, Stephen Harper.
Harper bagaimanapun berjaya meninggalkan lokasi itu dan disahkan berada dalam keadaan selamat.
Kejadian berlaku hanya dua hari selepas seorang lelaki merempuh dua anggota tentera mengakibatkan seorang daripadanya terbunuh.
Lelaki berkenaan bagaimanapun ditembak mati oleh polis. – Astro AwaniÂÂ