KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau masih menaruh harapan untuk dibebaskan dalam rayuan kes liwatnya yang akan didengar semula di Mahkamah Persekutuan, hari ini.
Ketua umum PKR itu ketika berucap di hadapan kira-kira 1,000 pelajar di pekarangan Dewan Tuanku Canselor (DTC), Universiti Malaya (UM) sebentar tadi turut menyatakan sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuk dipenjarakan jika rayuannya ditolak.
“Saya masih berharap hakim (Mahkamah Persekutuan) membuat keputusan berlandaskan undang-undang. Jika saya dipenjarakan, saya harus menerima dengan tenang.
“Saya sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya keputusan tidak menyebelahi saya.
“Saya sudah beritahu (Datin Seri Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) dan Nurul Izzah (Anwar) serta adik-adiknya supaya bersabar dan perlu ada sedikit pengorbanan,” katanya yang berucap kira-kira 23 minit, di sini.
Anwar sebelum itu diarak masuk menuju ke DTC menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama Wan Azizah serta Izzah.
Ketika menyampaikan ucapannya juga, Anwar menjelaskan beliau lebih memilih untuk pulang ke negara ini ketika berkunjung ke London baru-baru ini bagi berdepan rayuan kes liwatnya, biarpun ada pihak meminta untuknya tidak berbuat demikian.
Anwar hadir di UM malam ini bagi memenuhi jemputan Persatuan Mahasiswa UM dalam program ’40 Tahun Dari Universiti Malaya (UM) Ke Penjara.’
Terdahulu, sebelum perarakan masuk Anwar ke universiti berkenaan, situasi tegang di hadapan pintu masuk UM apabila sebahagian peserta bertindak ganas merempuh pagar universiti yang berkunci. – BHarian Online