KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)meletakkan sasaran untuk menjadikan Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) sebagai sebuah pusat kecemerlangan penguatkuasaan maritim dan kerja mencari dan menyelamat (SAR) bertaraf dunia menjelang tahun 2020.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Datuk Mohd Fuzi Ab Kahar berkata, bagi mencapai hasrat itu, semua warga kerja AMSAS perlu mengubah cara berfikir dan bekerja melangkaui kebiasaan.
“Dalam usaha memartabatkan AMSAS yang mula beroperasi pada tahun 2011 di peringkat antarabangsa, APMM melakukan pelbagai pendekatan termasuk menghantar anak-anak watan kita untuk menjalani latihan di seberang laut bagi mendapatkan latihan mencukupi.
“Kini, kita pula berjaya menganjurkan ‘International Advance Officer’s Boarding Course’ (IABOC) dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) buat julung kalinya di AMSAS.
“Kursus selama dua minggu bermula 19 September lalu ini disertai enam pegawai dari Pengawal Pantai Djibouti (DGC) dan 24 pegawai APMM,” katanya kepada pemberita selepas menutup kursus itu di sebuah hotel di sini Rabu malam.
Turut hadir, Kapten Maritim Mohd Amir Hamzah,Pemangku Pengarah Pendidikan dan Latihan, Kapten Maritim Christoper Ravindran Dass, wakil Konsulat kehormat Republik Djibouti serta wakil JICA.
Mohd Fuzi berkata, perjalanan transformasi AMSAS dalam menuju kepada pencapaian visi ini boleh dikatakan sukar tetapi menarik.
“Ia memerlukan kepimpinan, kerjasama pasukan dan keinginan tinggi untuk mencapai hasil sebagaimana diharapkan.
“Ia juga sejajar dengan misi dalam menjadikan zon yang dikawal oleh APMM sebagai tempat selamat dan tenteram,” katanya. – BERNAMA