LONDON – Arsenal menyemarakkan kempen Liga Juara-Juara apabila membenam Galatasaray 4-1 dengan Danny Welbeck melakukan hatrik dalam saingan berat sebelah Kumpulan Group D di utara London.
Galatasaray tidak pernah menang dalam sembilan perlawanan di England sebelum ini dan apabila Welbeck menghukum mereka dua kali dalam tempoh setengah jam, tentangan terus berakhir dan Alexis Sanchez memastikan Arsenal mendahului selesa dengan gol ketiga sebelum rehat.
Welbeck melengkapkan hatrik sejurus babak kedua bermula dan hanya kesilapan penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny yang menjatuhkan Burak Yilmaz sehingga dilayangkan kad merah, membolehkan Galatasaray meraih gol sagu hati menerusi sepakan penalti.
Selepas kekalahan pada perlawanan pembukaan kepada Borussia Dortmund, kemenangan itu mengangkat Arsenal ke tempat kedua di belakang kelab Jerman itu dengan tiga mata. Galatasaray dan Anderlecht masing-masing meraih satu mata. – Reuters