Apabila kontroversi watak Allahyarham A.R Tompel yang dipotretkan dalam Biopik Saloma timbul, bukan sahaja musibahnya terpalit kepada pengarah dan penerbit filem tersebut, namun pelakon watak itu, iaitu Azhan Rani.
Lantas, Azhan tampil meredakan ketegangan dengan membuat permohonan maaf kepada seluruh waris Allahyarham A.R Tompel atas lakonannya yang menjadi kritikan.
“Sebagai pelakon, saya menghormati wakil-wakil keluarga Allahyarham dan tidak ada niat untuk mencalarkan imej watak yang dibawa. Namun jika tindakan saya sebagai pelakon mencederakan hati mereka, dengan rela hati saya terbuka memohon maaf kepada mereka,” ujarnya kepada portal Gua.
Akui Azhan, beliau tidak berjumpa ahli keluarga A.R Tompel bagi mendapatkan informasi lanjut berkenaan wataknya dan hanya merujuk pengarah juga penerbit filem tersebut, Melissa Saila.
Menurutnya lagi, Melissa sudah membuat kajian selama enam tahun, malahan filem tersebut merupakan ‘tribute’ kepada Saloma dari kacamata kakaknya, Seniwati Mariani.
Pelakon ini juga mengakui tidak berniat untuk memburukkan watak tersebut dan hanya menjalankan tanggungjawab yang diberi sebagai pelakon untuk menjiwai karakter yang diberi.
Azhan juga berkata, sepanjang karier lakonannya, dia tidak pernah dihambat kontroversi dan cuba mengekalkannya, namun dia sedar, siatusi tersebut merupakan lumrah sebagai seorang anak seni.
“Saya terima perkara ini dan mohon maaf sekali lagi jika ia mencalarkan hati mana-mana pihak.” – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR