Sunday, October 27, 2024

Creating liberating content

Gagal Cubaan Seludup 14...

TAWAU - Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang juragan lelaki menyeludup 14...

Hampir 46,000 Pandu Laju,...

PUTRAJAYA : Sebanyak 35,618 pemandu dikesan memandu melebihi had laju di hadapan kamera...

TN50: Kenal Pasti Bidang...

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia perlu mengenal...

Tragedi Laser, Budak 8...

SEORANG kanak-kanak berusia 8 tahun maut selepas dihempap remaja lelaki ketika bermain di...

Azmin Umum Agihan Portfolio 10 Anggota Exco Baharu Selangor

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan agihan portfolio kepada 10 anggota Exco kerajaan negeri baharunya melibatkan beberapa penjenamaan daripada bidang tugas sebelum ini.

Beliau berkata penjenamaan tersebut melibatkan gabungan beberapa tugasan baharu untuk satu portfolio bagi meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk buat penjenamaan kepada beberapa portfolio yang dilihat dapat menjamin produktiviti pentadbiran baharu ini kelak,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Ketika ditanya berhubung perubahan portfolio beberapa anggota Exco kanan, Mohamed Azmin berkata perkara itu telah dibincangkan dengan pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat dan ia dibuat berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang ada pada wakil mereka.

Mengambil contoh portfolio baharu yang dipegang Datuk Teng Chang Khim iaitu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian (IKS) dan Perdagangan dan Pengangkutan, Mohamed Azmin berkata pihaknya melihat kepentingan portfolio itu bagi membantu industri kecil dan sederhana kerana ia mampu menjana pertumbuhan ekonomi Selangor.

“Teng sebagai contoh dapat memainkan peranan yang lebih signifikan dalam pelaburan dan perindustrian. Isu dalam IKS di Selangor sangat penting untuk menyokong pertumbuhan ekonomi (dan) sementara beliau beri perhatian untuk tarik pelaburan, beliau juga diberi tanggungjawab untuk kembangkan IKS di negeri ini,” katanya.

Semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Teng memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan.

Menurut Mohamed Azmin, selain Teng, anggota Exco kanan iaitu Iskandar Abdul Samad pula masih memegang portfolio yang sama seperti pentadbiran sebelum ini namun diberi nafas baharu.

Jumaat lepas, sepuluh anggota Exco baharu kerajaan Selangor mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas mendapat perkenan baginda.

Berikut senarai portfolio anggota Exco baharu kerajaan negeri Selangor:

1. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah, Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Penerangan – Mohamed Azmin Ali.


2. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian (IKS) & Perdagangan dan Pengangkutan – Datuk Teng Chang Khim.

3. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar – Iskandar Abdul Samad.

4. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna – Elizabeth Wong Keat Ping.

5. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu – Ean Yong Hian Wah.

6. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi – Dr Ahmad Yunus Hairi.

7. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga – Dr Daroyah Alwi.

8. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang – V. Ganabatirau.

9. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi dan Inovasi – Nik Nazmi Nik Ahmad.

10. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan – Amirudin Shari.

11. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani – Zaidy Abdul Talib. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori