SEORANG lelaki yang merupakan bekas Datuk Bandar (mayor) di Mexico ditahan atas dakwaan menjadi dalang terhadap kehilangan 43 pelajar yang dilaporkan diculik di Iguala, bulan lalu.
Menurut pihak berkuasa Mexico, bekas mayor terbabit, Jose Luis Abarca, isterinya, Maria de los Angeles Pineda Villa dan bekas Pengarah Keselamatan Awam, Felipe Flores Velasquez ditahan atas dakwaan sama .
Peguam Negara Mexico, Jesus Murillo Karam berkata, mereka disyaki menjadi dalang di atas kehilangan 43 pelajar terbabit yang dilaporkan diculik pada 26 September lalu.
Menurut kenyataan Murillo, pada hari kejadian, kumpulan pelajar yang terdiri daripada penuntut kolej perguruan itu sedang dalam perjalanan untuk mengadakan protes jalanan di Iguala.
Difahamkan sebaik mengetahui pelajar-pelajar tersebut mahu membuat protes jalanan, Jose telah mengarahkan Felipe untuk mengerah anggota polis melarang mereka meneruskan agenda tersebut.
Akibatnya, seorang pelajar terbunuh sementara 43 pelajar lain yang diculik dilaporkan telah diserahkan oleh anggota polis kepada geng penjenayah di sana yang dikenali sebagai Guerreros Unidos.
Ketiga-tiga suspek dilapor menghilangkan diri sehari selepas kejadian terbabit. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR