AMSTERDAM – Walaupun pihak pendakwa Belanda yang menyiasat nahas Penerbangan Malaysia MH17 percaya bahawa pesawat terbabit mungkin ditembak jatuh dari udara tetapi serangan peluru berpandu darat-ke-udara adalah kemungkinannya lebih besar, kata seorang pendakwa kanan dalam temu ramah dengan media Jerman.
Kerajaan Russia sering kali berkata, ia mempunyai imej radar bagi membuktikan bahawa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh oleh sebuah pesawat tentera Ukraine yang sedang terbang di kawasan berdekatan, walaupun senario berkenaan tidak pernah diterima oleh pegawai barat.
Dalam temu ramah oleh majalah berita Jerman, Der Spiegel semalam, pendakwa Fred Westerbeke berkata pihak Belanda akan meminta Moscow memberi maklumat yang mendorong mereka mempercayai bahawa sebuah pesawat Ukraine berada berdekatan pesawat MH17 ketika kejadian itu.
“Berdasarkan maklumat yang ada, tembakan peluru berpandu darat-ke-udara adalah senario yang lebih kemungkinan berlaku, tapi kami tidak menolak ia mungkin berlaku dengan cara lain,” katanya dipetik sebagai berkata oleh Der Spiegel.
“Kami sedang menyediakan permohonan kepada Moscow untuk mendapatkan maklumat, termasuk data radar yang ingin dibuktikan oleh Russia bahawa sebuah jet tentera Ukraine berada berdekatan,” katanya.
Terdahulu selepas kejadian itu, Amerika Syarikat menyatakan ia mempunyai bukti bahawa pesawat terbabit ditembak jatuh oleh peluru berpandu darat-ke-udara oleh pasukan bersenjata disokong Russia, yang menduduki kawasan berkenaan di timur Ukraine di mana terdamparnya serpihan pesawat berkenaan sekarang.
Laporan awal oleh Lembaga Keselamatan Belanda, yang menyiasat nahas udara berkenaan, menyenaraikan beberapa jet penumpang yang berada berdekatan MH17, tetapi tidak ada pesawat tentera disenaraikan, yang mampu menembaknya jatuh.
Pesawat Boeing 777 itu yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu, mengorbankan semua 298 orang di dalamnya, lebih dua pertiga adalah warga Belanda. – REUTERS