ATLET Afrika Selatan, Oscar Pistorius atau dikenali sebagai ‘Blade Runner’ dihukum penjara lima tahun kerana membunuh kekasihnya, Reeva Steenkamp, pada Hari Valentine tahun lalu.
Pistorius yang kudung kedua-dua kaki mencipta sejarah apabila mewakili Afrika Selatan dan bertanding bersama atlet biasa pada Sukan Olimpik di London pada 2012.
Dia yang sebelum ini  didakwa membunuh secara terancang namun berjaya menukar pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.
Hakim Thokozile Masipa menjatuhkan hukuman itu selepas mempertimbangkan permintaan pendakwa untuk hukuman berat manakala peguam bela memohon hukuman yang ringan.
Namun, pakar undang-undang berkata, Pistorius, 27, boleh dilepaskan selepas 10 bulan dan ditahan dalam rumah bagi baki hukumannya itu.
Dalam keterangannya kepada mahkamah, Pistorius berkata, kejadian itu adalah satu kemalangan selepas tersalah anggap teman wanitanya sebagai penceroboh pada waktu malam.
Pistorius didakwa membunuh Steenkamp dengan menembaknya menerusi pintu tandas tertutup di rumahnya.
Masipa mendapatinya bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat, atau pembunuhan kerana kecuaian, tetapi melepaskannya daripada tuduhan membunuh.ÂÂÂ
Hakim juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan berasingan iaitu melepaskan tembakan di sebuah restoran beberapa minggu sebelum Steenkamp ditembak mati.
Namun, beliau mengarahkan hukuman itu digantung.
Sementara itu, Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa berkata, Pistorius tidak layak bertanding dalam kejohanan itu selama lima tahun ketika menjalani hukumannya, termasuk Sukan Paralimpik 2016 di Rio de Jeneiro. - MYNEWSHUB.CC
Oleh: SYA