SEREMBAN – Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan menyediakan 35 unit bot di setiap balai bomba seluruh negeri sebagai persediaan menghadapi banjir.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Norazam Khamis berkata setiap anggota bomba juga bertanggungjawab memastikan keadaan bot berkenaan baik dan sentiasa bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.
“Di samping itu, lima buah lori berkapasiti lima tan disediakan untuk mengangkut bot.
“Peralatan lain yang turut disediakan bagi keselamatan di air ialah jaket keselamatan dan tali,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Norazam berkata selain persediaan peralatan, setiap anggota bomba juga dipersiapkan dengan latihan kemahiran untuk menghadapi musim banjir kali ini.
Beliau berkata antara kawasan yang berisiko banjir di negeri ini ialah Gemas, Seremban (Rantau), Labu, Tampin (Kampung Kru), Kuala Pilah dan Port Dickson.
Katanya pihak bomba turut bekerjasama dengan pihak polis, hospital, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dalam menghadapi musim banjir.
Norazam berkata ibu bapa perlu mengawasi pergerakan anak-anak mereka daripada bermain di kawasan rendah yang mudah dinaiki air seperti parit dan sungai.
“Mereka yang tinggal di kawasan tinggi juga perlu berwaspada kerana musim hujan juga boleh menyebabkan keruntuhan tanah,” katanya.
Norazam turut menasihatkan penduduk agar segera menutup kesemua suis elektrik di rumah jika air banjir didapati naik pada paras yang membimbangkan. – BERNAMA