KOTA KINABALU – Bot tempur CB204 yang ditemui petang Isnin lepas setelah dilaporkan hilang lebih 30 jam di Perairan Mengalum, Sabah dijangka tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada 1 tengah hari Rabu.
Perkara itu dimaklumkan pihak TLDM kepada media pagi Rabu.
Pada Selasa, Penglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Mohammad Rosland Omar berkata, operasi penundaan bot itu yang bermula 10 malam pada Isnin kini dilaksanakan KD Ganas yang menggantikan KD Paus dan diiringi KD Lekiu.
Tujuh anak kapal bot itu terdiri daripada Lt Azri Bakar, BK PAP Charles Cristopher Muni, BM TMK Ince anak Ewin, BM TMK Steven Hudson anak Miso, BM JTP Nor Azuan Ariffin, LK KOM Sulhajji Daah dan LK I PAP Azhry Maani.
Dua daripada mereka iaitu Charles Cristopher dan Steven Hudson yang mengalami masalah kesihatan telah diterbangkan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dengan pesawat Super Lynx kira-kira pukul 6.13 petang Selasa.
Charles dilaporkan mengalami sakit perut (gastrik) manakala Steven terkena renjatan elektrik dan menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Wilayah Kota Kinabalu.