CAMP LEATHERNECK, Afghanistan – Tentera British semalam menamatkan operasi tempurnya di Afghanistan dan menyerahkan pangkalannya di Kem Bastion kepada tentera Afghanistan, 13 tahun selepas pihak bersekutu melancarkan serangan terhadap pemerintahan Taliban.
Serentak dengan itu tentera laut Amerika Syarikat juga menyerahkan pangkalannya di Kem Leatherneck kepada tentera Afghan.
Bendera ‘Union Jack’ Britain diturunkan di Kem Bastion manakala bendera ‘jalur dan bintang’ Amerika Syarikat diturunkan di Kem Leatherneck di wilayah tenggara Helmand.
Kem Leatherneck adalah pangkalan Amerika terbesar yang diserahkan kepada kawalan Afghan, manakala Kem Bastion adalah ibu pejabat serantau pasukan antarabangsa bagi kawasan tenggara Afghanistan, yang menempatkan sehingga 40,000 anggota tentera dan kontraktor awam.
Semalam, kem berkenaan seolah-olah berubah menjadi sebuah pekan hantu dengan berek kosong dan pagar berduri. Papan buletin, yang sebelum ini memaparkan penghargaan kepada anggota yang maut, juga sudah tiada lagi.
“Ia sudah kosong,” kata Leftenan Will Davis daripada ‘Queen’s Dragon Guards’ tentera British. Kem Bastion adalah juga pangkalan yang menempatkan Putera Harry pada 2012 sebagai penembak helikopter ‘Apache’.
Keseluruhannya, 2,210 askar Amerika dan 453 askar British terbunuh di Afghanistan sejak 2001, ketika pakatan diketuai Amerika Syarikat menumbangkan kerajaan Taliban kerana menyokong al Qaeda berikutan serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 2001. – REUTERS