Bagi anda yang selalu sahaja merungut dan merasakan beban kerja anda adalah yang paling berat di dunia, sila ambil masa seketika untuk bertukar tempat dengan mereka ini.
Bayangkan, setiap hari anda berjalan kaki ke tempat kerja sejauh 4000 meter dengan mendaki gunung untuk sampai ke kawah gunung berapi yang masih aktif dan mengeluarkan asap serta cecair sulfur.
Dengan penuh kesedaran di hati, anda mesti sedar bahawa gunung berapi tersebut mungkin akan meletus bila-bila masa sahaja.
Sebaik sahaja sampai ke tempat kerja iaitu kawasan kawah gunung berapi, bayangkan anda menuruni cerun berbatu untuk sampai ke tempat punca rezeki iaitu sebuah tasik sulfur yang panas menggelegak serta mengeluarkan asap toksik berbahaya.
Ingat.. jika disedut dalam jumlah yang banyak ia boleh menyebabkan maut!
Seterusnya dengan menggunakan sebatang besi berbekalkan tenaga tangan, anda mula memecahkan sulfur yang sudah disejukkan kepada kepingan kecil dan meletakkannya ke dalam dua bakul raga yang dibawa.
Apabila sudah cukup kepingan sulfur yang kebiasaan beratnya sehingga 90kg, cabaran sebenar pun bermula.
Anda sudah boleh pulang dari tempat kerja dengan mengangkut kedua-dua raga.
Bersama dua raga seberat 90 kg yang disandang sebelah bahu, anda perlu mendaki cerun kawah yang berbatu dan berjalan pulang sejauh 4000 meter ke tempat pengumpulan sulfur.
Sekarang, anda sudah boleh menerima bayaran untuk gaji harian anda. Tapi sebelum itu raga yang anda bawa akan ditimbang.
Bagi kerja paling berat dan berisiko yang anda pernah lakukan ini, anda dibayar RM15 sahaja bagi setiap 90 kg sulfur yang dibawa pulang.
Itulah mata pencarian bagi 300 pelombong sulfur di kawah gunung berapi Ijen, Indonesia.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul 90 kilogram sulfur!
Oleh: hzqahmd/MYNEWSHUB.CC