PUTRAJAYA – Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri dan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) hari ini menandatangani surat pertukaran bagi merintis jalan untuk penubuhan Pusat Kecemerlangan Kerjasama Awam-Swasta Komanwel (PPP-CoE) di Malaysia.
Majlis itu menandakan satu peristiwa penting antara UKAS dan CAPAM, yang mengisyaratkan kepentingan kedua-dua pihak untuk memulakan perbincangan berhubung penubuhan pusat itu.
Presiden CAPAM yang baharu dipilih Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata terdapat model PPP yang sama di Australia, Kanada dan Singapura.
“Dengan penubuhan pusat yang baharu di Malaysia, kita berharap akan ada lebih banyak model di negara-negara Komanwel,” kata Ketua Setiausaha Negara kepada pemberita selepas menghadiri majlis itu yang diadakan sempena persidangan dwitahunan CAPAM 2014 di sini hari ini.
Majlis itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang merasmikan persidangan itu.
“Majlis yang menandakan satu langkah besar ke hadapan ke arah pembentukan PPP CoE di Malaysia, ia bermatlamat memperkenalkan program-program seperti program transformasi kerajaan dan program transformasi ekonomi yang akan melibatkan penyertaan sektor swasta dan awam,” kata Ali.
Beliau berkata pusat itu akan menerima pakai amalan terbaik di dunia dan berharap untuk memindahkan pengetahuannya ke luar negara pada masa depan.
Malaysia mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam PPP dan telah melaksanakan lebih daripada 600 projek PPP dengan jumlah perbelanjaan modal RM182 bilion.
Kira-kira 1,500 anggota perwakilan dari 53 negara menghadiri persidangan dwitahunan tiga hari itu, bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Ia dianjurkan CAPAM dengan kerjasama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Sekretariat Komanweld, dengan tema ‘Transformasi Perkhidmatan Awam: Suatu Bicara Baharu’.
Bersempena persidangan ini, Forum Media Komanwel diadakan untuk julung kalinya Selasa ini dengan dihoskan bersama Pejabat Ketua Setiausaha Negara dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama. – BERNAMA