Sejak kelmarin, sebuah video memaparkan seorang lelaki dipaksa masuk ke dalam kereta dipercayai diculik di depan sebuah restoran, menjadi viral di laman sosial.
Individu yang merakam video kejadian ini pada petang selasa lalu, merupakan pelanggan restoran yang risau jika apa yang disaksikannya itu adalah satu kejadian culik.
Lantas dia bukan sahaja memuat naik rakaman kejadian malah membuat satu laporan polis.
Tindakan pelanggan ini boleh dipuji kerana ternyata masih ada rakyat Malaysia yang prihatin terhadap nasib orang lain.
Di bawah adalah video dimaksudkan:
http://www.youtube.com/watch?v=ssEruSibEiQ
Bagaimana pun, cerita sebenar di sebalik insiden culik ini rupa-rupanya agak lucu.
Berdasarkan laporan akhbar hari ini, lelaki yang dipaksa masuk ke dalam kereta dalam rakaman tersebut rupa-rupanya ‘diculik’ oleh keluarga belah isterinya untuk dibawa pulang ke rumah bagi menyelesaikan masalah rumah tangga.
Tambah menarik, lelaki tersebut diberitakan seseorang berpangkat ‘Datuk Seri’.
Moral daripada kejadian ini adalah, para suami tidak sepatutnya melarikan diri apabila menghadapi masalah keluarga sebelum menyelesaikannya.
Bukan apa dibimbangi jika isteri anda senekad ‘Datin Seri’ dalam cerita ini maka adegan filem Hindi mungkin akan berlaku dan menggemparkan seluruh negara!
Apa pun, nasib Datuk Seri dalam video di atas tak perlu dibimbangkan kerana difahamkan, beliau dalam keadaan selamat dan sudah pun ke balai polis untuk memberi keterangan bersama isteri dan anggota keluarga yang ‘menculiknya’ tempoh hari. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: REM RAMZI