SERING kali masyarakat kita memandang serong terhadap lelaki yang gemar melakukan kerja rumah sehingga mengelarkan mereka sebagai lelaki lembut dan pondan.
Menurut pakar masakan terkenal negara, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, tanggapan sebegitu perlu dikikis kerana ia boleh memberi kesan negatif terhadap institusi kekeluargaan.
Memetik Bernama, Chef Wan mengatakan, “tidak semestinya lelaki yang membuat kerja-kerja rumah dianggap lemah dan lembut. Mereka berbuat demikian bagi membantu isteri yang mungkin penat setelah bekerja di pejabat.
“Bagaimanapun, dalam masyarakat kita persepsi sedemikian masih terjadi sedangkan ia tidak pernah wujud di negara Barat,” katanya.
Menurut chef selebriti ini lagi, sepatutnya sebagai seorang ketua keluarga, mereka perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak dengan membantu isteri melakukan kerja-kerja rumah. – MYNEWSHUB.CC
Oleh: JULIANA JOHAR