Shanghai – Naib Perdana Menteri China Zhang Gaoli semalam mengarahkan penutupan sementara kilang bagi menjamin kualiti udara ketika mesyuarat pemimpin Asia Pasifik di Beijing bulan depan.
Ia tindakan paling drastik diambil untuk mengekang pencemaran sepanjang mesyuarat yang akan diadakan pada 7 hingga 11 November ini.
Beijing dilitupi jerebu tebal sejak beberapa hari lalu.
Zhang memberitahu pegawai, menjamin tahap kualiti udara adalah menjadi ‘keutamaan daripada semua keutamaan’ walaupun tugas itu akan menjadi yang paling mencabar memandangkan penurunan suhu dan bermula musim membakar arang batu di utara negara itu, lapor agensi berita Xinhua.
Zhang juga berkata, kawalan kenderaan perlu dikuatkuasakan sepenuhnya dan penduduk perlu digalak menaiki pengangkutan awam sepanjang mesyuarat berkenaan.
Dalam usaha mengurangkan kesesakan dan mengekang pencemaran udara, Beijing memberi cuti istimewa enam hari kepada pekerja sektor awam sepanjang mesyuarat APEC berkenaan. – AFP