AHMAD Syukran Aizat mengakui dia perlu lebih bekerja keras bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan rakan sepasukan Ahmad Afif Amran ketika memenangi gelaran CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada musim lepas.
Menjelang saingan pusingan kelapan pada minggu ini, pelumba PETRONAS Yamaha CKJ itu percaya dia memerlukan sedikit masa untuk mencapai tahap sepertimana rakan senior memandangkan pelumba itu baharu beralih menggunakan jentera Yamaha setelah sekian lama bersama jentera Suzuki dalam perlumbaan satu pengeluar dan kategori Wira.
Meskipun berhadapan tugas berat, Syukran tetap bersemangat tinggi dan mempamerkan aksi memberangsangkan setelah berjaya menempatkan diri di kelompok lima pelumba terbaik sewaktu di Melaka (Pusingan 4) dan Teluk Intan (Pusingan 7).
“Kekosongan ditinggalkan Afif dalam kelas CP115 agak sukar untuk diganti. Bukan mudah untuk saya melakukan pencapaian sepertimana dilakukan Afif sebelum ini tambahan pula saya juga masih belum benar-benar serasi diri dengan jentera Yamaha,” jelas Syukran.
“Namun pada masa sama, keputusan saya pada musim pertama ini boleh dikira agak baik. Saya berjaya mengutip mata berharga dalam beberapa perlumbaan walaupun adakalanya saya gagal untuk menamatkan perlumbaan.”
“Untuk pasukan, ia satu perkembangan baik dan pada perlumbaan minggu ini, kami meletakkan sasaran untuk menamatkan perlumbaan di atas podium. Meskipun agak sukar memandangkan kami terpaksa berhadapan dengan cabaran pelumba Motul Yamaha YY Pang yang mendominasi saingan musim ini.”
Selepas tujuh pusingan, pelumba kelahiran Terengganu itu kini berada di tangga kesembilan keseluruhan dengan 36 mata.
Trio Motul Yamaha YY Pang menguasai tiga kedudukan teratas dengan Zaidy Mohd Zaifaizal mengumpul 139 mata diikuti Mohd Izzat Zaidi Salehan kedua, 128 mata dan Tengku Amirul Haffirudin ketiga, 113 mata.