Oleh kerana sinopsisnya yang menyentuh sensitiviti Islam, Dr. Fathul Bari Mat Jahya yang juga Exco Pemuda UMNO mengharapkan agar Lembaga Penapisan Filem (LPF) mengkaji semula tayangan filem Dracula – Untold.
Gesaan tersebut juga disampaikan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin melalui ‘tag’ ke akaun twitter masing-masing.
Beliau berkata terdapat babak yang jelas sekali ditokok bagi mengubah sejarah sekaligus memburukkan agama Islam.
Antaranya, dalam babak perjanjian darah antara Sultan Turki dan Putera Transylvania, tertulis kalimah Allah.
Status beliau kemudiannya menerima banyak sokongan dari masyarakat dengan berkongsi pendapat masing-masing.
Selain itu, filem ini juga menerima kritikan dari banyak pihak kerana memaparkan watak antagonis Sultan Turki iaitu Sultan Mahmet II sebagai seorang yang kejam kerana mengambil kanak-kanak untuk dijadikan bala tenteranya.
Menurut beliau, gesaan ini bukan hanya dibuat jika melibatkan agama Islam, namun akan juga dilakukan jika mana-mana pihak memainkan isu yang melibatkan sensitiviti agama-agama lain.
Seharusnya, isu agama tidak dipermainkan kerana Islam menyeru umatnya untuk menghormati perbezaan pegangan agama.
Dalam kemaskini terbarunya di laman Twitter, Dr. Fathul Bari juga mencabar produksi Hollywood agar memfilemkan Sejarah Andalusia yang berkisarkan tentang kekejaman pihak Kristian kerana membunuh masyarakat Islam dan Yahudi.
Filem Dracula – The Untold mendapat sentuhan pengarahan oleh Gary Shore, mengisahkan tentang putera Translyvania lakonan Luke Evans yang membuat perjanjian dengan seorang ahli sihir bagi menukarkan dirinya menjadi pontianak demi keluarga dan negaranya. – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR