PENYERANG Paris St Germain (PSG), Edinson Cavani dilayangkan kad merah selepas memperagakan aksi sedang menembak apabila berjaya menjaringkan gol ketiga kelab itu pada Jumaat.
Dalam perlawanan menentang RC Lens di Stade de France, PSG berjaya menewaskan lawan 3-1.
Layangan kad merah oleh pengadil perlawanan, Nicolas Rainville turut mengejutkan penyokong, pemain, pegawai dan presiden PSG yang kemudian mengkritik tindakan tersebut.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi berkata, hukuman terhadap tindakan Cavani meraikan jaringannya merupakan keputusan yang tidak baik untuk bola sepak Perancis.
“Ini merupakan tugas media untuk mengulas tindakan yang telah dilakukan pengadil.
“Cavani tidak sepatutnya dilayangkan kad merah kerana tidak mendapat kad kuning sebelum itu.
“Dia selalu memperagakan aksi tersebut sebelum ini ketika menjaringkan gol.
“Ini satu tindakan yang tidak baik kepada bola sepak Perancis yang sedang membangun,” katanya.
Kemenangan itu membawa PSG ke kedudukan kedua carta liga di belakang Olympique de Marseille dengan memiliki 18 mata daripada 10 perlawanan. – mStar Online