LUXEMBOURG – Diego Costa menjaringkan gol pertama buat Sepanyol selepas tujuh kemunculan bagi membantu juara bertahan Eropah itu untuk menundukkan Luxembourg 4-0 pada saingan kelayakan Euro 2016, awal pagi tadi.
Ia sekali gus membantu Sepanyol mempamerkan kebangkitan selepas mengalami kekalahan sulung di peringkat kelayakan Euro 2016 dalam tempoh lapan tahun.
Kemenangan itu meletakkan Sepanyol di landasan tepat untuk mara ke kejohanan pada 2016, cuma tiga hari selepas rekod 36 perlawanan tanpa kalah di peringkat kelayakan lebur akibat kekalahan 2-1 kepada Slovakia.
David Silva meletakkan Sepanyol 2-0 di depan hasil gol pada minit ke-27 dan diikuti umpanan kemas kepada Paco Alcacer untuk gol ketiganya pada minit ke-42.
Costa yang terlepas beberapa peluang keemasan sebelum penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris itu menebus kekecewaan Sepanyol pada minit ke-69.
Sementara itu, Slovakia mencatat kemenangan 3-1 ke atas Belarus hasil dua jaringan Marek Hamsik bagi membolehkan mereka kekal di tangga teratas Kumpulan C dengan sembilan mata.
Sepanyol pula kini berkongsi enam mata dengan Ukraine selepas Ukraine menang 1-0 ke atas Macedonia.
Macedonia dan Luxembourg masing-masing mengumpul satu mata.
England pula catat kemenangan tipis 1-0 ke atas Estonia. – Agensi