Apa yang akan anda lakukan jika menjadi mangsa pemburuan satu kumpulan untuk dibunuh secara rambang? Takut tak?
Filem yang diarahkan oleh Oliver Blackburn ini dibarisi pelakon seperti Haley Bennett, Ashley Greene, Erica Ash, Chris Coy dan Lucas Till menjanjikan babak-babak mendebarkan buat penggemar filem ‘thriller’.
Kronologi kisah ini bermula apabila watak utamanya, Justine terpaksa tinggal seorang diri di kolej kerana kesemua rakan termasuk teman lelakinya pulang untuk meraikan ‘Thanksgiving’.
Momen ketakutan bermula apabila Justine keluar membeli keperluan di sebuah kedai dan bertemu Violet serta ahli kumpulan yang lain. Di situ, naratif mula berpusing secara laju apabila dia dipilih menjadi sasaran untuk dibunuh.
Kumpulan penjahat yang berfahaman ateis ini kemudiannya menuju ke kolej kediaman Justine dan memulakan pemburuan.
Demi melunaskan keinginan membunuh Justine, mereka membunuh kesemua pengawal kolej dan mencari gadis itu di setiap pelusuk kolej, namun Justine bijak mencari helah.
Dia kemudiannya sedar, satu sahaja cara untuk dia lari dari menjadi mangsa bunuh, iaitu dengan membunuh kesemua mereka.
Pujian harus diberikan kepada pemegang watak Alice Cullen dalam filem saga Twilight, Ashley Greene kerana berjaya membawa watak antagonis Violet.
Ashley berjaya mempamerkan sisi berbeza dengan membawa karakter seorang yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Buat yang masih runsing mencari filem terbaru di pawagam, apa kata anda cuba menonton filem ini. Serius, anda tak akan menyesal! – MYNEWSHUB
Oleh : IZZAT MOHD ANUAR